Monday 11 May 2015

BILA NAJIB BERSUARA !!!

Saya Tidak Akan Tunduk Tekanan 



 Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.



"Saya cuma tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi ahli parti sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan tetap meneruskan perjuangan saya," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Perbandaran Tawau di sini, Ahad.

Beliau menegaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO diperolehinya secara proses demokrasi dan ditentukan oleh rakyat dan anggota UMNO dari seluruh negara iaitu dari Padang Besar di Perlis hingga ke Pulau Sebatik, di Tawau, Sabah.

Najib yang ingin mendengar sendiri suara sokongan hadirin dengan melaungkan "rakyat Sabah sokong" sebanyak tiga kali telah disambut dengan sorakan gemuruh hadirin, "Najib, Najib, Najib".

Menegaskan pendirian kukuhnya, Perdana Menteri sempat membacakan falsafah Bugis yang berbunyi 'Kendati tergantung awan di langit. Telah terlanjur ku bentang layar. Walau badai datang menggunung. Walau berdentum guruh di langit, walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku berbalik haluan'.

Justeru, kata Najib takkan satu suara lebih besar daripada suara yang didengarnya daripada hadirin dan juga rakyat di Kota Belud ketika menghadiri program perasmian Projek Perumahan Rakyat di daerah berkenaan pagi tadi serta suara rakyat yang telah memberi mandat kepadanya untuk memerintah negara.

Katanya setiap pemimpin termasuk beliau pernah menempuh ujian dan tidak terkecuali Dr Mahathir yang menghadapi lebih banyak ujian ketika menerajui pucuk pimpinan negara selama 22 tahun.

"Mana tak ada ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan UMNO, Dr Mahathir) hampir kalah. Hampir 50 peratus ahli UMNO suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi Perdana Menteri'. Oh hebat dia jawab.

"1987, saya antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi Perdana Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita beri sokongan dia kekal. Kalau kita sokong pemimpin menghadapi ujian, Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi Perdana Menteri," yang sekali lagi mendapat sorakan hadirin.

"Jadi, janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri, kita sokong dia penuh. Sekarang dia tidak jadi perdana menteri, sokonglah pula. Kalau tak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tapi tak apa, jangan rosakkan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad - 1MDB)," katanya.

Najib berkata kenyataan Dr Mahathir berhubung 1MDB kebelakangan ini berbelit-belit, sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion.

Beliau menegaskan kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.

Perdana Menteri menjelaskan ketika Tabung Haji membeli sekeping tanah milik 1MDB ia adalah pelaburan dan bukannya 'bailout' 1MDB kerana Tabung Haji boleh memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui pembelian itu namun disebabkan perkara itu dijadikan isu, beliau menasihatkan Tabung Haji menjual tanah berkenaan.

Najib berkata melalui penjualan semula aset berkenaan, Tabung Haji boleh untung sehingga RM5 juta hingga RM6 juta namun pada masa sama merugikan pendeposit Tabung Haji sendiri kerana jika aset itu tetap milik Tabung Haji, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.

"Tetapi kerana isu sudah dipusing sebagai isu yang panas, orang kata 'you are shooting yourself at your foot', tembak kaki sendiri. Inilah yang saya kata tidak rasional.

"Kita buat sesuatu untuk apa? Untuk kebaikan rakyat. Bagilah peluang. Setiap perkara boleh kita selesaikan. Tetapi beri peluang kepada pemimpin untuk menyelesaikan perkara itu," katanya.

Perdana Menteri berkata selepas menyaksikan sokongan padu diberikan rakyat kepadanya seperti yang dapat dilihat pada perhimpunan hari ini, beliau berazam untuk meneruskan perjuangan malah semangatnya kian berkobar.


No comments:

Post a Comment