Friday 12 August 2011

KONTRAKTOR BUMIPUTERA PERLU BERUBAH - PART 3



Kontraktor Bumiputera perlu menjadi 'trend setter' !!!


 


Masalah ketirisan bukan saja disebabkan faktor kerakusan segelintir kontraktor Bumiputera semata-mata kerana ia juga boleh dilihat berlaku di pelbagai peringkat pengurusan perolehan kerajaan. Walaupun pengurusan perolehan kerajaan dilengkapkan dengan undang2, prosuder dan arahan sebagai panduan pelaksanaan, namun ia sering dikatakan sebagai bidang pengurusan kewangan yang paling berisiko untuk berlaku ketirisan dan penyelewengan.

Ketirisan sering berlaku disebabkan percanggahan kepentingan, pilih kasih terhadap pembekal atau telah berpakat tidak melaporkan kecacatan dan kekurangan, membocorkan maklumat jabatan, mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan orang awam dan telah menerima komisen atau suapan.

Faktor utama mengapa terjadinya ketirisan dalam menguruskan perolehan kerajaan adalah sikap penjawat awam yang tidak mengamalkan nilai2 murni seperti akauntabliti, intergriti dan saksama dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Oleh kerana majoriti syarikat Bumiputera banyak bergantung kepada projek kerajaan untuk hidup, karenah birokrasi di peringkat ini terpaksa dihadapi segali gus menjejaskan prestasi syarikat. Selain itu, antara faktor lain yang perlu dipandang serius ketika  ini ialah kelemahan dalam pengurusan rantaian bekalan (supply chain management). Rangkaian bekalan adalah proses dan struktur yang menggabungkan input berbeza untuk menghasilkan keluaran yang memenuhi permintaan pasaran.




Ramai kontraktor Bumiputera menghadapi masalah ketirisan ini disebabkan tidak mampu bersaing dan tidak menguasai bidang kritikal utama aspek keupayaan kewangan dan rantaian bekalan bahan binaan yang dikuasai bukan Bumiputera. Ini mengakibatkan harga bahan tidak dapat dikawal. Apabila kenaikan harga berlaku, akibatnya kos projek berubah. Seterusnya kontraktor terpaksa membuat permohonan untuk mengubah kos (variation cost) dan ia mengurangkan keuntungan.

Beberapa kajian dibuat mendapati ketirisan itu memang tidak dapat dielakan memandangkan kontraktor Bumiputera terpaksa membeli bahan binaan daripada peniaga bukan Bumiputera dan kos untuk bahan binaan selalunya sekitar 60% daripada keseluruhan kerja pembinaan. Ini ditambah faktor sewaan jentera dan lain-lain logistik, tenaga buruh dan tenaga pakar yang biasanya disewa daripada orang bukan Bumiputera. Kos untuk buruh dan logistik biasanya sekitar 20%.

Kontraktor Bumiputera tidak mempunyai pilihan selain menyewa jentera dan peralatan binaan yang dikuasai bukan Bumiputera kerana tidak mampu memiliki jentera sendiri. Hal ini sekali gus sukar untuk mendapatkan penyertaan lebih 25% Bumiputera dalam sebuah syarikat Bumiputera kerana masalah yang dihadapi itu. Justeru, masalah  ketirisan ini perlu ditangai agar tidak berlarutan dan merosakan ekonomi negara.

Kerajaan tidak boleh terus membuang wang begitu sahaja dalam melaksanakan agenda Bumiputera kerana ia seharusnya memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat Bumiputera. Kerajaan perlu mengubah pendekatan ini dengan melaksanakan sistem merit, membantu kontraktor Bumiputera yang benar-benar layak dan berkebolehan.

Kita lihat saja bagaimana dasar membantu Bumiputera dalam bidang pendidikan berjaya mencapai matlamatnya, dengan ramai golongan profesional Bumiputera dilahirkan. Perkongsian setara di antara kontraktor Bumiputera dan bukan Bumiputera melalui set kemahiran kerja teras dan pengetahuan sampingan akan membantu mereka menjalankan perniagaan yang menghasilkan situasi 'menang-menang'.




Dengan membiarkan kontraktor Bumiputera ini bekerja dengan kontraktor berpengalaman dan memiliki latar belakang prestasi kerja yang baik, ia bukan saja membolehkan mereka belajar, tetapi juga diberi pendedahan dengan sikap dan komitmen teguh daripada kontraktor berkeupayaan. Tambahan pula, di samping meningkatkan daya saing dan keupayaan kontraktor untuk jangka masa panjang, perkongsian itu membantu Bumiputera menjadi lebih berdikari dalam memperoleh projek.

Apa yang diperlukan ialah semua rakyat Malaysia bekerjasama membentuk rantaian bekalan bersepadu 1Malaysia supaya ia dapat bersaing di peringkat global dan menjana kekayaan untuk manfaat rakyat Malaysia. Justeru, untuk melaksanakan rantaian bekalan bersepadu ini memerlukan kerjasama semua peringkat. Kerjasama erat Bumiputera dan bukan Bumiputera akan menghasilkan skala pengeluaran lebih tinggi dan sekali gus menghasilkan pendapatan boleh dikongsi semua pihak.









>>> Adakah kontraktor Bumiputera mampu bersaing kontraktor bukan Bumiputera sekiranya tanpa bantuan Kerajaan????

Tetapi apabila telah mendapat bantuan kerajaan apa pula yang telah dilakukannya???

Ikuti siri terakhir kupasan artikel ini yang akan dikeluarkan tidak lama lagi...Terus ikuti kisah KONTRAKTOR BUMIPUTERA PERLU BERUBAH - PART 4.....





No comments:

Post a Comment