Sunday, 19 June 2011

Bersih Jalan Singkat Guling Kerajaan


Timbalan Perdana Menteri berkata, perhimpunan haram Bersih adalah jalan pintas parti pembangkang untuk ke Putrajaya, sekali gus menjatuhkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat.
Sambil menegaskan tindakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu didalangi oleh parti-parti pembangkang, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang kini sedar sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) kembali meningkat.

Menurut beliau, itu sebenarnya matlamat mereka kerana segala tuntutan Bersih berkaitan perjalanan pilihan raya telah dijawab oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pertemuan antara kedua-dua pihak sebelum ini.

"Kenapa sekarang baru nak pertikai perjalanan pilihan raya. Jika tidak bersih maka semua tidak bersih termasuk negeri-negeri yang dimenangi mereka dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Jangan pula 'double standard' yang dia menang...bersih, apabila kalah tuduh SPR tidak bersih. Malah mereka juga tidak cabar keputusan pilihan raya di mahkamah dan tidak juga bangkitkan di platform sah iaitu di Parlimen," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Bahagian UMNO Beaufort, Datuk Seri Lajim Ukin yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Jelas Muhyiddin, pembangkang sebenarnya hendak menggunakan platform itu untuk membangkitkan kemarahan rakyat dan seterusnya mengekalkan momentum bagi menghadapi pilihan raya umum.

Selain itu, katanya, terdapat juga motif tersirat iaitu untuk menutup kelemahan dan kes-kes yang dihadapi oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat melupakannya dan sebaliknya memarahi kerajaan.

"Apa wajarnya pilih demokrasi jalanan kerana ia tidak akan sama sekali mampu menyelesaikan masalah, negara mempunyai Parlimen dan undang-undang, gunakanlah saluran yang sah," katanya yang mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya dengan dakyah mereka yang amat terdesak itu.

Ditanya mengenai pendirian Pergerakan Pemuda UMNO yang akan menyertai perhimpunan itu bagi melawan Bersih, Muhyiddin berkata, ia adalah manifestasi bahawa tindakan tidak bertanggungjawab itu ditentang oleh semua pihak.

"Pemuda berhak memberi pendapat. Sama ada ia wajar atau tidak, itu harus difikirkan semula untuk mengelak berlakunya pertembungan yang akan menjejaskan kestabilan negara.
"Boleh atau tidak, jawapannya mudah iaitu apabila kerajaan kata tidak boleh diadakan perhimpunan haram, maka semua pihak tidak terkecuali, tidak kira mana-mana pihak," katanya.




Apa lagi yang kita mahukan selain keamanan dan bebas beragama??? Kerajaan telah memberikan sebaik mungkin pertolongan kepada rakyat dengan menterjemahkanya melalui subsidi-subsidi yang diberi selama ini, bersyukurlah sebagai umat Islam kerana itu yang dituntut oleh NYA, bukan dgn perhimpunan BERSIH yang kita sendiri tak pasti KEBERSIHan nya.... 

No comments:

Post a Comment