Friday 17 June 2011

Mengimarahkan Sasterawan Negara

BARU-BARU ini, kerajaan mengumumkan Anugerah Sastera Negara yang dianugerahkan kepada Datuk Dr. Ahmad Kamal Abdullah atau nama penanya Kemala. Sasterawan Negara ke sebelas ini telah diangkat dan diiktiraf sebagai penerima anugerah berprestij dalam bidang kesusasteraan.
Pengiktirafan seumpama ini sebenarnya lebih signifikan jika kerajaan dapat memanfaatkan ketokohan beliau untuk generasi muda. Tidak kiralah dalam apa jua bentuk program yang berkaitan dengan kesusasteraan tanah air.
Sejak Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981, seramai sebelas orang sasterawan telah diangkat dan diiktiraf sebagai Sasterawan Negara dimulai dengan Keris Mas. Kemudian disusuli oleh Shahnon Ahmad, Usman Awang, A. Samad Said, Arenawati, Muhammad Haji Salleh, Noordin Hassan, Abdullah Hussain, S. Othman Kelantan dan Anwar Ridhuan.
Ilham Anugerah Sastera Negara sebenarnya timbul daripada gesaan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn yang menginginkan sebuah hadiah sastera yang berprestij demi mengangkat martabat sastera di negara kita.
Pada awal penganugerahannya, wang tunai sebanyak RM30,000 menjadi sebahagian daripada hadiah selain pelbagai kemudahan menjalani kehidupan dan berkarya. Sejak tahun 2003, nilai hadiah ini telah ditambah menjadi RM60,000 di samping kemudahan menerbitkan karya sehingga mencecah RM500,000.
Anugerah Sastera Negara dipilih oleh Urusetia Panel Anugerah Sastera Negara yang ditunjangi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, di bawah seliaan Kementerian Pelajaran Malaysia.
Walaupun Anugerah Sastera Negara telah dianugerahkan kepada sebelas orang sasterawan, namun aspek pengimarahan mereka masih tidak memberangsangkan.
Pendedahan Sasterawan Negara kepada rakyat di negara ini khususnya kalangan generasi muda, pelajar sekolah, mahasiswa universiti masih tidak mencapai matlamat penganugerahan Sasterawan Negara.
Lebih malang lagi para Sasterawan Negara kurang dikenali di negara luar kerana tiada usaha yang berterusan dan teratur bagi memperkenalkan mereka dan karya kepada khalayak antarabangsa.
Sasterawan Negara sepatutnya dianggap sebagai aset negara. Mereka seharusnya dimanfaatkan dengan pelbagai program sebagai satu usaha pengimarahan. Usaha membawa Sasterawan Negara ke sekolah sama ada ke pelajar sekolah menengah mahupun sekolah rendah juga sangat kurang dilakukan.
Cuma dua tahun yang lepas pihak swasta (anak syarikat Kumpulan Utusan) melalui program Utusan Sukma: Sepagi Bersastera yang membawa Sasterawan Negara A. Samad Said menjelajah pelosok daerah di Negeri Sembilan. Usaha seumpama ini sewajarnya dijadikan contoh yang baik.
Usaha ini mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada warga sekolah untuk berkarya, seterusnya menerapkan nilai-nilai pengkaryaan setaraf Sasterawan Negara.
Berkala
Program penulisan secara berkala dengan kaedah bengkel yang bersesuaian dengan khalayak misalnya, boleh dimulakan dengan bimbingan kepada para guru yang mengajar subjek sastera di sekolah. Di samping itu guru yang terlibat di dalam pengajaran Komponen Sastera Dalam Pengajaran Bahasa Melayu (KOMSAS), sebagai satu usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran Sastera di sekolah.
Dalam pada itu, guru dan pelajar juga didedahkan kepada bimbingan Sasterawan Negara, bagi menghasilkan karya yang mampu mengangkat martabat sastera negara sebagai satu usaha berterusan.
Pengimarahan Sasterawan Negara tidak hanya setakat membawa dan mendedahkan Sasterawan Negara kepada warga sekolah dan masyarakat Malaysia, malah karya-karya Sasterawan Negara seharusnya mengisi rak-rak di Pusat Sumber Sekolah dan Perpustakaan Desa, Perpustakaan Awam dan Negeri, malah seharusnya dibincangkan secara lebih kerap.
Agensi-agensi Kerajaan khususnya yang terlibat secara langsung terhadap pengangkatan dan pengiktirafan Sasterawan Negara seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Pelajaran Malaysia, Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sepatutnya memainkan peranan yang lebih berkesan dan proaktif terhadap usaha pengimarahan ini.
Tidak dihormati
Seperti yang diungkapkan oleh Raja Ahmad Aminullah dalam Siasah (18-24 Mei) yang lalu: "Kalau seorang Sasterawan Negara sendiri tidak dihormati oleh orang yang dianggap berilmu atau berintelektual, siapa lagi yang dapat kita harapkan. Bagaimanakah kita akan mengatasi kelesuan dan kejumudan budaya kita. Apakah kita berghairah dalam soal-soal sepertiAkademi Fantasia dan politik seperti pilihan raya sahaja, sementara hal-hal yang berkaitan ilmu dipandang sepi".
Usaha pihak swasta juga harus digembleng secara terancang, misalnya dengan dana yang diperolehi daripada Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), seperti Khazanah Nasional, para Sasterawan Negara boleh dihantar ke luar negara bagi memperkenalkan karya Sasterawan Negara ke khalayak antarabangsa. Seminar sastera bertaraf antarabangsa boleh menjadi medan mempromosi Malaysia, Sasterawan Negara dan karya-karya mereka di persada antarabangsa.
Jika agensi-agensi sedia ada semacam tidak berminat untuk mengimarahkan para Sasterawan Negara, atas apa jua alasan, seharusnya usaha ini dimandatkan kepada institusi mahupun organisasi lain yang lebih berminat ke arah usaha pengimarahan para Sasterawan Negara ini. Sejumlah dana boleh diuntukkan secara konsisten bagi menjamin usaha pengimarahan ini akan berterusan dan tidak terhenti di tengah jalan.
Usaha-usaha lain bagi mengimarahkan para Sasterawan Negara, misalnya boleh dilaksanakan melalui aktiviti-aktiviti promosi dan pendedahan secara hiliran, misalnya memperkenal setem kenangan para Sasterawan Negara, hal ini akan dapat secara tidak langsung menyuntik keghairahan untuk rakyat negara mengenali, memiliki, dan menghayati karya-karya para Sasterawan Negara.
Sikap masyarakat kita yang tidak begitu mengambil tahu atau mengambil berat mengenai kewujudan para seniman dan pengkarya khususnya di dalam bidang sastera bukanlah suatu perkara yang luar biasa. Pihak Kerajaan dengan kerjasama pihak swasta mahupun agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh juga menamakan nama-nama taman, jalan, perpustakaan (sekadar contoh) dengan nama-nama para Sasterawan Negara sebagai satu cabang pengimarahan bawah sedar.
Harapan bahawa penganugerahan Sasterawan Negara tidak seperti projek-projek mega yang akhirnya sekadar menjadi 'gajah putih' serta tidak mempunyai sebarang signifikan kepada perkembangan dunia sastera tanah air malah tidak juga mampu menjadi katalis menyemarakkan dan menyuburkan institusi Sasterawan Negara yang akhirnya semacam momokan dan tidak dipedulikan.

No comments:

Post a Comment