Tuesday, 21 June 2011

Penggunaan Sistem Biometrik, Jalan Penyelesaian Terbaik !!

Pilihan Raya Umum akan datang bakal menyaksikan penggunaan sistem biometrik yang membolehkan proses pengesahan pengundi dilakukan secara elektronik jika cadangan itu dipersetujui.



Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menggunakan sistem biometrik yang kini diguna pakai ke atas warga asing.

''KDN sudah praktikkan kaedah ini untuk warga asing yang hendak masuk ke dalam negara. Prinsip saya kita mahu gunakan pada pengundi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas antara lapan perkara yang dituntut kumpulan pengacau yang mahu menganjurkan perhimpunan haram atas alasan bagi memastikan pilihan raya yang telus dan bersih menggunakan dakwat kekal.
Penggunaan sistem biometrik kini digunakan secara meluas oleh Jabatan Imigresen di pintu-pintu masuk di seluruh negara sebagai kaedah untuk menangani jenayah antarabangsa dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin di negara ini.

Abd. Aziz berkata, menerusi penggunaan biometrik, sebelum kertas undi dikeluarkan, langkah pertama yang dilakukan adalah membuat pengesahan terhadap kad pengenalan bahawa ia dokumen asli.

"Dengan menggunakan biometrik, pemilik kad pengenalan perlu meletakkan jarinya di situ dan maklumat yang keluar pada skrin adalah sama dengan kad pengenalan yang dibawa.

''Sebaik sahaja disahkan, kita akan semak dulu sama ada namanya ada dalam daftar pemilih, jika ada, kita akan keluarkan kertas undi. Selepas mengundi, individu berkenaan tidak boleh pergi ke tempat lain untuk membawa kad pengenalan yang sama untuk mengundi di tempat lain," katanya.

Tegas beliau, penggunaan sistem biometrik adalah jalan penyelesaian terbaik berbanding menggunakan dakwat kekal seperti yang digunakan di India dan Indonesia.


Penggunaan dakwat kekal, kata beliau, tidak perlu kerana sehingga kini tidak ada laporan atau petisyen yang menunjukkan terdapat pengundi yang mengundi dua kali di negara ini dan ia hanyalah tohmahan semata-mata.

Kerajaan Malaysia sentiasa memberi yang terbaik untuk rakyat demi kesejahteraan semua...

No comments:

Post a Comment